web widgets

Monday, May 5, 2014

MASALAH MEMBACA


Masalah dalam membaca ini semakin hari semakin membimbangkan kerana terdapat segelintir pelajar yang belum tahu membaca walaupun sudah memcapai usia yang sepatutnya. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di sekolah rendah tetapi juga turut berlaku di sekolah menengah. Masalah yang berlaku ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu umur akal dan umur biologi. Umur akal ini ialah istilah yang digunakan bagi pelajar yang tidak dapat membaca pada usia yang sepatutnya yang berdasarkan umur biologi atau dengan kata lain umur seseorang pelajar yang diukur berdasarkan kurikulum rasmi pendidikan di sekolah sebagai contoh tahun satu. Seterusnya, umur biologi ialah umur yang dikira sejak seseorang itu lahir lagi.
            Menurut Mahzan Arshad,(2009), terdapat dua faktor yang menyebabkan masalah membaca. Faktor tersebut ialah faktor dalaman dan juga faktor luaran. Bagi faktor dalaman, faktor yang terlibat ialah faktor fizikal dan juga faktor neorologikal. Antara kecacatan fizikal yang mempengaruhi keupayaan membaca ialah :

a)    Masalah atau kecacatan penglihatan

Dalam keadaan ini, terdapat banyak punca yang akan menganggu keupayaan membaca. Antara punca tersebut ialah juling, rabun jauh, rabun dekat, Amblyopiks dan juga Astigmatism. Punca-punca ini yang mendatangkan masalah kepada kanak-kanak khasnya untuk menggunakan penglihatan mereka untuk aktiviti membaca. Masalah yang timbul pada peringkat awal ini yang akan mendatangkan masalah yang teruk pada proses mendekod.

b)   Masalah pertuturan

Dalam masalah pertuturan, punca utama yang menjadi penyebab kepada masalah ini ialah masalah tumbesaran, pendengaran, masalah dalam pertumbuhan kerongkong, masalah sumbing dan juga kecederaan pada otak sama ada kecederaan yang serius ataupun tidak. Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini tidak akan mengakibatkan keupayaan membaca dan sekiranya terdapat kesan sekalipun tetapi kesan tersebut hanya kepada psikologi sahaja.

c)    Masalah pendengaran

Masalah pendengaran ini akan menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran yang amat dalam menuntut ilmu. Walau bagaimanapun, masalah pendengaran yang ringan boleh dirawat melalui rawatan yang sesuai. Pelajar yang menghadapi ini akan berhadapan dengan kesukaran dalam membezakan bunyi konsonan dan juga bunyi vokal. Dalam masalah pendengaran ini, terdapat dua jenis kecacatan iaitu kecacatan sementara dan juga kecacatan kekal. Kecacatan pendengaran yang sementara ini boleh dirawat dengan cara membersihkan telinga dan juga mengambil antibiotik. Seterusnya, kecacatan pendengaran yang kekal ini pula perlu merujuk kepada doktor-doktor yang lebih pakar untuk membolehkan rawatan yang sempurna diberikan kepada para pelajar.

Faktor dalaman yang seterusnya ialah faktor neurologikal. Faktor ini juga turut menyebabkan masalah dalam membaca. Terdapat beberapa faktor yang terdapat dalam faktor neurologikal iaitu :

a.    Faktor keturunan

Masalah faktor ini dapat diatasi dengan cara mengubah sikap ibu bapa para pelajar. Sebagai contoh ibu bapa menunjukkan minat mereka terhadap bahan bacaan dan berminat terhadap kejayaan anak-anak mereka dalam pelajaran. Selain itu, ibu bapa juga boleh menunjukkan model bahasa kepada anak-anak mereka.

b.    Faktor Emosi

Faktor ini terjadi apabila pelajar yang gagal atau tidak tahu membaca akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas, gagal dan sebagainya.

c.    Faktor Kerosakan Otak

Faktor kerosakan otak ini adalah disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau bahan toksik yang telah mencemarkan otak atau di bahagian otak.

d.    Faktor Disleksia

    Faktor diskleksia ialah satu gangguan dalam pembelajaran yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak kecil lagi dan keadaan ini berlanjutan sehingga kanak-kanak itu dewasa. Terdapat segelintir pengidap penyakit disleksia ini mempunyai masalah untuk menyebut perkataan yang panjang dan kesukaran untuk mengikuti urutan perkataan seperti nama bulan, urutan hari dan juga sifir.

Terdapat faktor yang tergolong dalam faktor luaran. Antara faktor tersebut itu ialah :


  •      i.          Faktor persekitaran

Dalam faktor persekitaran, persekitaran di rumah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kebolehan membaca seseorang. Ini termasuklah tahap pendidikan ibu bapa, kegiatan sosiobudaya, pendapatan ahli keluarga, kestabilan emosi, corak interaksi dan juga komunikasi serta sikap seseorang atau ibu bapa terhadap pembelajaran. Ibu bapa seharusnya menjadi model dalam tingkah laku, tabiat dan suka membaca. Keluarga juga memainkan peranan dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka sebagai contoh mereka boleh menyediakan bahan bacaan yang boleh menarik minat anak-anak untuk membaca di rumah. Hal ini demikian kerana penyediaan bahan bacaan ini boleh mempengaruhi minat membaca anak-anak. Persekitaran di sekolah juga memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca dalam kalangan murid-murid. Tingkah laku guru di dalam kelas juga amat mempengaruhi kebolehan mambaca para pelajar. Sebagai contoh, guru perlu menyediakan bahan bacaan yang sesuai, jenis soalan yang baik dan memberi dorongan serta pengukuhan kepada para pelajarnya.

Langkah-langkah untuk mengatasi masalah membaca :

                    I.        Guru- guru yang berpengalaman haruslah memberikan bimbingan kepada pelajar yang ada masalah dalam membaca.
                 II.          Menggalakkan kanak-kanak mengeja tetapi jangan menggunakan paksaan.
              III.        Ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dalam menarik minat anak-anak mereka untuk membaca.




No comments:

Post a Comment