Definisi membaca yang dikemukakan oleh beberapa tokoh
Definisi yang diberikan
oleh Smith & Johnson (1980) lebih berkait dengan proses membaca sebagai
satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Membaca menurut meraka ialah
proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang
dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis. Keupayaan membaca ialah keupayaan
membuat tanggapan terhadap apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Definisi
ini ialah sepadan dengan definisi yang dikemukakan oleh Safiah Othman (1991),
iaitu selagi seseorang tidak memahami apa yang dibaca maka dia belum lagi
membaca. Definisi ini bermaksud pemberian makna terhadap bahan yang dibaca
adalah penting bagi mengatakan bahawa seseorang itu berkeupayaan membaca atau
mempunyai kemahiran membaca. Selagi beliau mempunyai masalah dalam proses
memberi makna ini, maka selagi itulah beliau belum membaca.
Harris dan Sipay (1980)
dalam memberikan definisi membaca menegaskan keperluan seseorang itu perlu
mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna
terhadap lambang yang dibacanya. Definisilah yang banyak digunakan bagi
mengukur keupayaan seseorang, sama ada dia “celik huruf” atau “buta huruf”.
Seseorang yang dapat membaca menurut definisi Harris dan Sipay ini ialah orang
yang dapat membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan
tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi
mengungkap sesuatu objek atau konsep tertentu. Namun demikian, banyak tulisan
yang terdapat di dunia ini adalah merupakan lambang lukisan yang dipermudahkan.
Sebagai contoh aksara Cina, Jepun, Korea dan beberapa lagi sistem tulisan
pelbagai aksara di dunia ini merupakan lambang lukisan yang mewakili sesuatu
objek atau konsep yang ingin dimaksudkan. Lukisan tersebut kemudiannya menjadi
lambang dalam sistem penulisan yang tekal dan diikuti oleh pengguna bahasa
tersebut sehingga ke hari ini.
Seterusnya definisi yang diungkapkan oleh Goodman (1973) pula terdapat
sedikit perbezaan daripada definisi yang dikemukakan oleh ketiga-tiga tokoh
diatas. Goodman telah membuat kajian tentang kebolehbacaan, iaitu bagi
merungkai persoalan sejauhmanakah sesuatu bahan tersebut dapat dibaca oleh
seseorang pelajar membaca. Goodman pernah menyatakan bahawa membaca adalah satu
permainan teka-teki. Hal ini bermaksud, pembaca seolah-olah bertka-teki dengan
bahan bercetak yang dibacanya. Maksudnya
disini pembaca tidak semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat
pada bahan yang dibacanya, tetapi beliau membuat tekaan terhadap sesuatu
perkataan itu berdasarkan maksud yang palinh hampir dengan perkataan yang
beliau tidak pasti.
Selain itu, definisi lain ialah definisi yang dikemukan oleh Mahzan
(2003) menegaskan bahawa membaca ialah proses membina jambatan antara apa yang
terdapat dipermukaan penulis dengan apa yang terdapat di minda pembaca.
Definisi ini dikemukan berdasarkan satu teori bacaan yang amat berpengaruh
sekitar tahun 1990-an iaitu teori skema. Teori ini menyatakan bahawa seseorang
hidup dengan mengumpul seberapa banyak maklumat di dalam mindanya berlandaskan
apa sahaja pengalaman yang dihadapi dalam hidupnya ini. Pengalaman latar ini
akan kekal dalam mindanya dan digunakan bagi memperkayakan lagi mindanya dengan
pengalaman yang baru. Semakin banyak pengalaman latar yang dikumpul, semakin
kayalah mindanya. Pepatah melayu ada mengatakan, semakin jauh perjalanan,
semakin luas pengalaman. Perjalanan bukan sahaja bermaksud dalam jarak atau
lokasi dan tempat, tetapi pengalaman juga diperolehi menerusi pelbagai
peristiwa yang dilalui.
Proses membaca menurut Mahzan ialah proses mengaitkan apa yang terdapat
dalam minda seseorang dengan apa yang dibacanya dipermukaan bertulis. Semakin
banyak yang diketahui tentang isu yang diungkap dalam bahan bertulis, semakin mudahlah
beliau memahami apa yang dibaca.
No comments:
Post a Comment